Janganlah hampa sesiapa yang dizalimi...

Dunia ini jika diciptakan Allah tanpa diiringi dengan Hari Akhirat, tentulah kehidupan ini amat mengecewakan banyak manusia. Apa tidaknya, entah berapa ramai insan yang dizalimi haknya sedangkan dia tidak dapat menuntutnya kembali disebabkan kedhaifan dirinya, atau keadaan yang tidak membelanya.

Seperti yang saya pernah ungkapkan sebelum ini, antara kemanisan hidup ini apabila seseorang memiliki sahabat yang setia tanpa sebarang kepentingan. Namun, hal yang seperti ini amat sukar untuk diperoleh di dunia ini, meskipun ramai yang selalu mendakwa dia adalah sahabat setia kita. Kita tidak tahu sejauh manakah dakwaan itu sebelum adanya ujian yang sebenar.

Memiliki persahabatan yang jujur dalam erti kata yang sebenar adalah nikmat kehidupan. Tetapi entah berapa ramai yang benar-benar jujur dalam persahabatan, luhur tanpa sebarang penzaliman, pembohongan, penipuan dan sebagainya. 

Masha Allah, jikalah dunia berakhir dengan sebuah kematian di bumi semata, tanpa manusia dibangkitkan semula dan dihitungkan segala amalan dan kerjanya, tentulah kehidupan ini sesuatu yang amat tidak adil. Atau kehidupan ini hanyalah pentas drama kezaliman dan penindasan lahir dari ikatan persabahatan. Namun Maha Suci Tuhan dari menjadikan kehidupan sia-sia. Firman Allah: (maksudnya) maka apakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu dengan sia-sia dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?” Maka Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Maha Benar; tiada yang diabdikan diri melainkan Dia, Tuhan Yang mempunyai ‘arasy yang mulia (Surah al-Mukminun ayat: 115-116).

Ya, ramai sahabat yang pernah menzalimi sahabatnya mungkin telah melupai teman yang pernah dia zalimi.  Ketika mereka bergolek dalam keseronokan, mangsa-mangsa mereka merintih penderitaan dan kesakitan. 

Satu lagi sikap sesetengah manusia adalah mereka sering lupa kezaliman terhadap orang lain dan hanya mengungkit kezaliman apabila ia terkena kepada diri mereka sahaja. Jika orang lain bertindak tidak adil terhadap mereka, mereka akan membantah lalu berkata kami dizalimi. Apabila mereka menzalimi orang lain, mereka akan berkata kami hanya menuntut hak.

Islam ini adil untuk semua tanpa sempadan. Allah Tuhan Yang Maha anti kezaliman telah berfirman dalam hadis qudsi: “Wahai hamba-hambaKu! Aku telah haramku kezaliman untuk Aku lakukan dan Aku jadikan ianya haram di kalangan kamu, jangan kamu zalim menzalimi” (Riwayat Muslim). Kezaliman itu haram sekalipun terhadap orang yang pada zahirnya tidak berperwatakan baik dan sekalipun terhadap bukan muslim. Tidak dibolehkan oleh agama kita menuduh atau menzalimi seseorang hanya kerana dia tidak kuat beragama atau kerana dia bukan seorang muslim. Apatah lagi terhadap seorang soleh dan berakhlak baik dalam hidupnya.

Nabi s.a.w bersabda: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tidak ada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat Ahmad “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/ al-Sahihah: 767) dalam riwayat Ahmad yang lain: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ianya tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/ al-Sahihah: 767).

Entah berapa ramai si zalim yang belum pun sempat datang Hari Akhirat telah pun merasai padah kezaliman di atas muka bumi ini hasil dari doa mangsanya. Kadang-kala si zalim bergelak seketika atau beberapa lama, namun masa pembalasannya akan tiba. Sehingga dek terlupa perbuatan zalimnya, apabila tiba saat pembalasan Tuhan di bumi ini ke atasnya dia tertanya-tanya: “mengapa aku jadi begini?”, atau “mengapakah Tuhan melakukan padaku begini?”

Dia terlupa kezalimannya, sedang si mangsa dan Tuhan tidak lupa perbuatannya. Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w bersabda: “Takut kamu doa orang yang dizalimi kerana ianya dibawa atas lindungan awan dan Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Demi kemuliaan dan keagunganKu, akan Aku menangkan engkau walaupun selepas beberapa lama” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir, dinilai hasan/ al-Sahihah:870). Ketika si zalim tidur lena di katilnya, si mangsa mendongak ke langit menyeru Tuhannya. Justeru itu, janganlah hampa sesiapa yang dizalimi dan takutlah kita doa orang yang kena zalim!

No comments:

Post a Comment