Ayuh kita renungi kembali saat-saat getir yang kita alami selama kita hidup. Pada ketika getir itu kita merasakan dunia ini berada di pengakhiran, diri ini akan kecundang. Tetapi lihatlah hari ini berapa banyak saat-saat getir telah pun kita harungi atas bantuan Ilahi. Ketika sakit, kita menyebut dengan tak sengaja hati kita mengeluh dan mengadu "Ya Allah... aku sakit ya Allah". Ketika diri dianiaya kita akan tersentap dan tersentuh mengadu kepada yang Esa "Ya Allah, kenapa lah diri aku begini Ya Allah. Saat dan ketika ini lah jiwa insan akan bulat mengharapkan pertolongan Ilahi. Hebat sekali Allah mendidik hati insan yang Dia pilih dan yang Dia sayang.
Jiwa yang mengharapkan Allah bukanlah sekadar digambarkan dengan pakaian seseorang, atau gelarannya, atau penampilannya. Sebab itu, jangan tertanya-tanya mengapa Allah membiarkan si fulan sedangkan dia nampak kuat agama? Pertamanya, Allah mungkin menolongnya, sedangkan kita tidak menyedarinya. Atau, mungkin kita tidak tahu apa yang tersimpan dalam dadanya. Allah Yang Maha Mengetahui siapakah dia, jauh atau dekat dia dengan Allah. Betapa ramai yang lidahnya menyebut “Ya Allah, tolonglah daku”, tapi sanubarinya masih terikat dan bergantung kepada makhluk. Bunyi nada suaranya mungkin kedengaran sebak, tetapi tauhid tidak bulat dan penuh ikhlas, maka doanya tidak disahut.
Demikian apabila kita lihat seorang yang mungkin kelihatan ‘biasa’ sahaja, tetapi setiap kali dia menyebut “Ya Allah, tolonglah daku”, pertolongan pantas sampai kepadanya. Ini disebabkan ruhnya yang penuh pergantungan kepada Allah, tanpa sebarang syirik atau harapan kepada selainNya. Ini yang disebut oleh Nabi s.a.w:
“Boleh jadi orang yang kusut masai, berdebu, yang dihalau di pintu (tidak diterima kedatangannya), jika dia bersumpah dengan nama Allah nescaya Allah tunaikan”. (Riwayat Muslim).Jika insan ikhlas dan membulatkan pergantungan kepada Allah, Allah menerima harapannya, sekalipun dahulunya dia pernah melakukan dosa syirik dan kejahatan pun, Allah tetap akan mendengar rayuan. Dengan syarat dia hendaklah penuh ikhlas kepada Allah ketika doanya. Al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) dalam tafsir ketika menghuraikan firman Allah tadi: (maksudnya)
“Siapakah yang dapat menyahut orang yang dalam kemudaratan, tatkala dia berdoa kepadaNya, serta Dia menghilang keburukan?!”, dia berkata: “Allah menjamin menyahut orang yang kemudaratan apabila dia berdoa kepadaNya. DIA memberitahu mengenai diriNya. DIA menerima doa orang yang dalam kemudaratan sebabnya keadaan doa ketika dururat (kesusahan yang amat) itu terbit dari keikhlasan, terputus hubungan hati sanubari dengan selain Allah. Bagi keikhlasan itu suatu kedudukan dan jaminan di sisi Allah. Ini boleh ada pada orang mukmin dan kafir, yang taat dan yang jahat.Fitrah insani akan memanggil Allah dengan penuh ikhlas apabila dia dalam kesusahan. Sehingga ada yang pernah kufur dan sesat akan kembali ikhlas memanggil Allah dengan penuh keikhlasan apabila dia terdesak –seperti al-Quran gambarkan di atas-. Bagaimanakah seorang muslim gagal untuk mengikhlaskan jiwa memanggil Allah dengan penuh keikhlasan pabila dia dalam kemudaratan?! Bagaimana mungkin insan mencari ‘kabel’ atau saluran pertolongan, merayu dan merintih, mengharap dan meminta kepada selain Allah apabila dia ditimpa kesusahan? Jika dia menyeru Allah dalam kesusahan, mengapakah pula dia gagal mengikhlaskan tauhid dan pergantungan kepadaNYa? Sedangkan Allah menjamin untuk menerima doa penuh ikhlas tanpa syirik daripada hamba-hambaNya yang dalam kemudaratan. Siapakah lagi yang dapat mendengar rintihan kesusahan ini? hanyalah ALLAH, tiada sekutu bagiNya.
Persis seperti firman Allah: (maksudnya) “Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut; sehingga apabila kamu berada dalam dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya, dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bergembira dengannya; tiba-tiba datanglah angin ribut yang kencang, dan datang pula kepada mereka ombak dari segala penjuru, dan mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadanya (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami akan menjadi orang-orang Yang bersyukur” (Surah Yunus, ayat 22).
Firman Allah juga: (maksudnya) “Maka apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan mereka mengikhlaskan kepadaNya agama, kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka melakukan syirik kepadaNya” (Surah al-Ankabut, ayat 65).
(kata al-Qurtubi lagi) “DIA menyahut doa mereka ketika darurat dan berlakunya keikhlasan mereka, sedangkan DIA tahu bahawa mereka akan kembali kepada kesyirikan dan kekufuran mereka” (al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/223. Beirut: Dar al-Fikr)
No comments:
Post a Comment