Solat atau sembahyang adalah jambatan yang menghubungi hamba dengan Tuhannya. Solat: padanya ada penyembahan, ada rintihan, ada pengaduan serta penyerahan diri setotalnya kepada Pencipta yakni Allah, Tuhan semesta alam. Jiwa akan tenang bila bersolat, jiwa akan tenteram sekiranya hati disucikan dengan alunan zikir yang terdapat dalam solat. Insan akan menjadi rapat dan intim bersama Tuhannya di dalam solat.
Namun bagi jiwa insani yang renggang dari Tuhan, jiwa insan yang hambar dari kemanisan iman dan hubungan ruhi dengan ilahi, dia akan terus terbayang dunia yang fana ini, harta kekayaan, rupa paras yang mantap. Jika dia sakit, pertama yang terbayang dalam fikirannya wajah para pengubatnya. Jika dia kesesakan harta, dia terbayang sumber-sumber yang boleh dia dapatkan wang. Jika ditindas, dia terbayang wajah mereka yang berkuasa yang dia rasa dapat membantunya. Jika wajah atau anggotanya tak sempurna dia akan terbayang-bayang spa, gym dan dan alat solek sebagainya untuk mencantikkan dirinya. Tidak salah untuk kelihatan cantik dan menawan tetapi yang salah dan silapnya adalah apabila lalai dan mengetepikan Tuhan semata-mata untuk merapati dan mengecapi erti keduniaan.
Demikian seterusnya.
Jiwa, jantung hatinya sentiasa tersangkut dalam alam makhluk. Tergantung dengan yang lemah sepertinya. Berpaut pada yang rapuh kerana disangkakan kukuh. Lalu Allah pun membiarkannya bersama dunianya yang goyah dan harapan sentiasa terdedah kepada kehancuran. Dia terlupa bahawa betapa ramai pesakit yang gagal diubati. Dia terlupa bahawa betapa ramai yang dikhianati oleh orang yang dipercayai. Dia alpa bahawa betapa ramai yang berkuasa gagal menyelamatkan diri sendiri. Bahkan dia lupa betapa ramai yang berharta, berkuasa dan ternama, Allah kepung hidup mereka dengan pelbagai sengsara. Pergantungan yang sangat lemah. Allah mengingatkan manusia tentang hal ini dengan firmanNya: (maksudnya)
“Wahai manusia, diberikan untuk kamu satu perumpamaan, maka dengarlah mengenainya; sesungguhnya mereka yang kamu seru selain dari Allah itu, tidak sama sekali dapat menciptakan seekor lalat pun walaupun mereka berpakat untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat menyelamatkan kembali. (maka) lemahlah yang meminta (untuk ditunai hajatnya), dan lemahlah yang diminta (untuk menunaikan hajat)”. (Surah al-Hajj: ayat 73).Demikian perumpamaan yang Allah berikan, gambaran kepada mereka yang bergantung harap dan lalai dengan keduniaan yang fana ini.
Solat tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk lakonan atau paksaan kehidupan. Solat jangan sesekali diibadatkan semasa rajin atau semasa bulan puasa atau sebagai ikutan. Ibarat manusia memerlukan udara dan air untuk hidup begitu juga solat. Ia suatu tuntutan dalam apa-apa keadaan selain daripada yang telah dirukhsahkan (diringankan oleh Allah) dan menjadi kewajipan dalam hidup seseorang bergelar muslim.
Hukum meninggalkan solat
Bersambung...
No comments:
Post a Comment