Rasa tersinggung yang begitu mendalam di hati ibu Juraij, begitu melukakan perasaannya hingga beliau bertindak meminta Allah menguji Juraij dengan melihat wajah wanita pelacur, agar beliau sedar bahawa ibadah khusus yang kehilangan sense of priority itu bukanlah tiket mudah untuknya ke Syurga.
Setitis air mata ibu, mungkin boleh menjadi air dingin yang memadam api Neraka terhadap seorang anak tetapi diingatkan juga bahawa setitis air mata ibu itu juga mungkin boleh menjadi minyak yang menyalakan murka Allah yang sarat dengan azab derita itu.
Imam Al-Ghazali pernah mentakrifkan bahawa lelaki adalah tercipta dengan 9 rasioanal dan 1 emosi manakala wanita diciptakan dengan 9 emosi dan 1 rasional. Mungkin takrifan ini suatu metafora. Namun dengan kekuataan 9 emosi itulah maka Allah kurniakan kehamilan seorang wanita dengan alam rahim, iaitu alam penyayang.
Penderitaan seorang ibu menghamilkan, membesarkan seorang anak tak terkira peritnya, sehinggakan Allah ungkapkan keperitan itu di dalam Surah Luqman ayat ke 14 yang bermaksud:-
dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
Wahai anak seantero dunia, sehebat mana pun kita, setinggi mana jawatan kita, sebesar mana gaji kita, seintelek mana pun kita. Kita semua bermula dari rahim insan yang bernama ibu, mama, umi, atau mak... Bayangkan derita seorang mak yang Allah bekalkan nikmat sabar ke atas mereka, mengandungkan kita 9 bulan, kemudian bila kita dilahirkan. Seawal umur kita satu hari hinggalah kita mampu merangkak, berjalan dan berdiri, kini kita dah dewasa, kita dah punyai kerja, kita berkereta besar, dah bergaji ... mungkin kita dah lupa kita punya seorang ibu yang menangisi kepulangan kita, yang rindukan lunak suara kita berbicara dengan mereka.Allah memberikan percikan sifat Rahman dan Rahim untuk makhluk-Nya mengasihi tanpa syarat, hanyalah pada naluri dan hati seorang ibu dan bapa kepada anaknya. Suami mengasihi isteri, sering mengharap balas. Isteri mengasihi suami, kerap juga ada sesuatu yang terselindung di sebaliknya. Apatah lagi jika hanya antara dua sahabat. Sukar untuk dipastikan tulus persahabatan mereka. Bolehkah seorang sahabat memaafkan sahabatnya tanpa syarat? Mungkin ada, tapi sering tiada.
Apa yang pasti, hanya ibu sahaja yang mampu mengasihi anak-anaknya tanpa syarat. Sebab itulah anak-anak tidak mampu membalas kasih itu. Jika seorang anak jatuh sakit, ibu sanggup berjaga malam dan berdoa agar si anak sembuh dan dipanjangkan umur. Namun apabila tiba giliran anak menjaga ibu bapanya, mereka mungkin terus menjaga, tetapi hati mudah berkata, “bilalah orang tua ini nak mati!”. Ya Allah, lindungilah aku dari menjadi anak seperti itu.
Ya Allah, aku lemah, aku banyak dosa. Aku suka mengeluh, aku kerap lalai dan alpa. Ampunkanlah aku ya Allah. Ampunkan diriku dengan pengampunan oleh sifat-Mu yang Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ampun dan kasihanilah aku, mudah-mudahan tanpa banyak hisab, tanpa banyak syarat, sebagaimana ibu bapaku memaafkan aku tanpa syarat, mengasihiku tanpa mengharapkan balasan.
Ampunkan jua mereka, dan limpahkan Rahmah-Mu kepada mereka. Mereka yang mengasihiku tanpa syarat, Kau maafkan mereka dan limpahkan Kasih-sayangMu kepada mereka, tanpa hisab dan syarat…
Di kala kita punyai kesempatan, peluk dan ciumlah ibu dan ayah atau kalau lah terlalu sukar berbuat sedemikian, selalulah menghubungi mereka dan bertanya perkhabaran mereka. Tiada ibu yang tidak rindukan anaknya ketika berjauhan. Jangan jadi anak yang derhaka kerana itu mengundang murka dan laknat Allah.
No comments:
Post a Comment