Robbi Lakil ni ila ngairik, ila nafsi, fa ajas tu anha walatakil ni ila ngairik.. fadhi u'ni...
Kita selalu rasa takut kalau kita tak cukup duit. Kita selalu rasa takut kalau kita sakit. Lebih-lebih lagi sekiranya kesakitan itu bakal meragut nyawa kita. Kita selalu rasa tercabar sekiranya tidak memiliki apa yang orang lain ada. Kita selalu rasa cemas kalau orang yang kita sayang tidak lagi menyayangi kita. Mungkin kita rasa risau sekiranya orang yang kita sayang dikebas orang atau mencari orang lain dan tidak lagi menghiraukan kita atau meninggalkan kita.
Perasaan sebegini merupakan perasaan normal seorang insan. Allah anugerahkan perasaan sebegini buat semua insan. Saya menulis artikel ini berdasarkan pengalaman yang tak seberapa yang saya alami dan ingin berkongsi tentang keajaiban berlaku ke atas diri saya sekiranya segala urusan kehidupan kita serahkan kepada Allah, untuk Dia uruskan.
Jika Allah mengatur dan menguruskan urusan kita dan Allah tidak serahkan diri kita kepada kita walaupun sekelip mata, mungkin dunia boleh berbuat apa-apa terhadap kita tetapi mereka tidak boleh mencabar kebesaran kerajaan Allah Jalla wa'la. Teman taulan yang mengenali kita boleh menzalimi kita namun mereka lupa Allah itu pemilik segala Maha, Dia maha mengetahui hati dan perasaan setiap insan, Dia maha pemberi kenikmatan, Dia maha meranapkan seluruh insan. Yakin dan percayalah Allah mampu berbuat apa-apa ke atas diri insan.
Ramai orang tersalah sangka tentang maksud ketenangan hidupnya.Selalu orang mengaitkan ketenangan itu dengan faktor harta, dengan faktor kekayaan. Walaupun itu boleh jadi penyumbang tetapi itu bukan segala-galanya. Betapa ramai orang yang berada dalam rumah yang besar, tidur di atas katil yang empuk tetapi tidurnya tidak lah lena kerna dirundung masalah dan beban kehidupan. Bahkah ada orang yang tidur di pondok yang buruk, kadang-kadang lebih lena daripada kita yang tidur di atas katil yang empuk ini. Ada orang, setiap hari di hadapannya dihidang dengan makanan yang sedap dan hebat serta lauk pauk yang bagus, tetapi lidahnya kurang enak ... lebih enak lagi daripada orang yang makan dengan lauk yang tak seberapa tetapi dia lebih sedap dan selesa memakannya. Lihatlah bagaimana Allah membahagi-bahagikan nikmatNya. Semua orang sangka dengan rumah yang besar, duit yang banyak, mampu membeli makanan yang sedap, mereka itu hidup serba kemewahan, namun Allah maha mencaturkan kehidupan insan.
Jika Allah hendak memberikan kebahagiaan kepada seseorang, dia tidak boleh ditahan dengan apa-apa tangan sekalipun...jika Allah menghalang kebahagiaan kepada seseorang dia tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun.
Jika Allah mengatur untuk kita apa yang orang sangkakan tewas, kita akan melihat kemenangan di sisi Allah. Apa yang orang rasakan rugi, Allah akan memberi keuntungan yang mana jalan-jalan tersebut manusia tak sangka, tetapi Allah boleh wujudkan keajaiban dalam hidup.
Cubalah kita imbau kembali, entah berapa banyak ujian dan keperitan hidup yang kita telah alami selama kita hidup tetapi hari ini Allah telah keluarkan kita dan kita berada di dalam kehidupan yang baik. Ketika kita ditimpa musibah tertentu mungkin antara keluhan kita "habislah aku kali ini!". Tetapi usia kita telah berjalan, kita masih lagi hidup dan makan serta menikmati kurniaan hidup ini. Marilah kita sama-sama terus dan terus mendambakan diri kepada Allah, Tuhan sekalian alam, yang menghidup dan mematikan. Bersyukurlah wahai insan dengan nikmat yang Allah beri ini. Saya pernah jatuh, pernah sakit, pernah dizalimi tetapi, saya masih bernafas lagi dan menikmati hidup Allah ini. Terima kasih Wahai Sang Pemberi... Allah Robbul Jalil.
Ikhlas
Razeef
No comments:
Post a Comment